POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun, rogol dan menyamar pegawai imigresen membabitkan dua mangsa wanita warga Indonesia dalam kejadian di kawasan sebuah hospital swasta di Pandan Indah, Ampang, kelmarin.
Dalam kejadian 6.50 pagi itu, mangsa warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci bersama seorang rakan senegaranya dalam perjalanan ke tempat kerja di Pandan Indah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kedua-dua mangsa ditahan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Honda City dan mengaku sebagai pegawai imigresen.
“Suspek memberitahu mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja serta meminta mangsa menaiki kereta mereka yang kemudian dibawa ke kawasan Serdang.
“Semasa dalam perjalanan, suspek mengambil barangan kemas dan wang tunai mangsa sebelum diturunkan di tepi jalan di kawasan Serdang, manakala rakannya dibawa ke sebuah hotel di kawasan Balakong dan dirogol di hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuat serbuan di sebuah rumah teres di Taman Seri Asahan, Melaka pada jam 3 pagi tadi.
“Dua lelaki berusia 40 dan 35 tahun berjaya ditahan serta menemui wang tunai, rantai leher dan rantai tangan serta kenderaan dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.
“Semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah, manakala seorang lagi mempunyai 13 rekod membabitkan kes jenayah dan dadah serta satu rekod dikehendaki bagi kes dadah,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes mangsa yang dirogol kini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Beliau berkata, dua lelaki yang ditahan itu telah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman dan kes disiasat oleh IPD Ampang Jaya mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. – Malaysiapost

