Cubaan seludup minyak diesel bersubsidi gagal

0
2

SEORANG lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan, semalam selepas disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran Thailand.

Dalam Operasi Bersepadu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa itu, turut dista 274 liter minyak diesel dan sebuah lori.

KPDNHEP Kelantan dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan pasukan operasi telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan bersama seorang individu sedang membuat pengisian minyak dari satu stesen ke stesen secara berterusan.

“Pasukan bertindak membuat serbuan di lokasi hadapan sebuah stesen minyak di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat Kelantan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori berpendaftaran Malaysia jenama Isuzu menemui minyak diesel di dalam tangki yang disyaki telah diubahsuai yang disyaki akan diseludup ke Thailand melalui pengkalan haram,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, sebanyak 274 liter minyak diesel dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM589 dan kenderaan sebanyak RM 50,000 berjaya disita.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

“Siasatan lanjut dijalankan keatas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperolehi,” katanya.

KPDNHEP Kelantan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

“Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dan kian giat dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here