Isteri kedua menteri terbabit skandal LCS – Rafizi Ramli

0
1

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan isteri kepada menteri dalam barisan Kabinet antara salah seorang pemilik syarikat yang didakwa menyeleweng dana projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bernilai RM1.7 bilion.

Beliau berkata, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh, isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad.

“Muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut ‘It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab’ yang bermaksud ‘Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, Abdul Latiff adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013, dan ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan

Dalam pada itu, Rafizi berkata semakannya menunjukkan skim menyeleweng dana awam dari projek LCS itu dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

“Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff) atau isterinya,” ujarnya.

Ujarnya, disebabkan itu beliau dari awal menuntut penjelasan Zahid sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind, dan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

“Mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka,” soalnya.

Sementara itu, Rafizi berharap pendedahan daripada beliau dapat menutup mulut Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut terhadap skandal LCS.

“Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here