Polis kenal pasti suspek punca pencemaran sungai

0
2

POLIS sudah mengenal pasti individu yang membuang sisa buangan hingga mencemarkan Sungai Batang Benar di Nilai dan yakin suspek ditangkap tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman, berkata pegawainya kini berada di negeri lokasi suspek tinggal dan yakin individu berkenaan dapat ditangkap, seterusnya didakwa di mahkamah.

“Selepas menerima laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kami membuka kertas siasatan dan seterusnya memburu suspek yang disyaki terbabit mencemarkan Sungai Batang Benar ini.

“Kami yakin dapat menangkap suspek dalam tempoh terdekat dan membawanya ke negeri ini untuk didakwa,” katanya seperti dilapor Utusan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata pihak berkuasa menutup sebuah ladang ternakan angsa dan membersihkan tempat pembuangan haram di kawasan Perindustrian Nilai yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Batang Benar.

“Kami mengesyaki aktiviti pembuangan sisa buangan di kawasan Perindustrian Nilai ini berlaku tiga atau empat hari lalu manakala ladang ternakan angsa ini sudah beroperasi secara haram selama empat tahun.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sudah mengambil sampel di tapak pembuangan haram di Kawasan Perindustrian Nilai untuk mengetahui sama ada ia bahan buangan berjadual atau bukan.

“Kilang ternakan angsa haram yang terletak di Pajam dan disyaki mengalirkan bahan buangan ke sungai Batang Benar sudah diarahkan tutup serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu analisis sampel sungai Batang Benar bagi mengetahui sama ada pencemaran di situ sama seperti sampel di sungai Semenyih, Selangor yang turut tercemar sehingga dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas, menyebabkan puluhan ribu penduduk di negeri itu terjejas baru-baru ini. 

Kerajaan Selangor sebelum ini mendakwa aktiviti pembersihan ladang angsa dan kawasan Perindustrian Nilai 3 dipercayai menjadi punca sungai berkenaan tercemar sebelum mengalir ke Sungai Semenyih. – Malaysiapost