PELAKON dan pengacara popular Uyaina Arshad berkongsi khabar duka mengenai pemergian abangnya, Mohd Attaful Uzair Arshad, di Instagramnya sebentar tadi.
Menerusi perkongsian tersebut, Uyaina, 30, turut meluahkan kata, kebaikan dan kasih sayang abang sulungnya dalam menjaga keluarga selepas bapa mereka meninggal dunia hampir 25 tahun dahulu.
“Inallillahiwainnailaihirojiun.. Mohd Attaful Uzair bin Arshad. Pulangnya abang sulungku ke negeri abadi.. Bertemu Sang Pencipta.. ‘Orang baik selalu pergi dulu’.
“Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik. Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia dah set contoh yang baik untuk kami adik-beradik Dia masuk asrama.
“Kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-adik berebut nak berbakti untuk Ummi. Dia baik. Dia pemurah. Dia penyayang,” tulisnya.
Uyaina berkata, dia baru berjumpa abang kesayangannya itu semalam dan arwah banyak meninggalkan pesanan kepada dirinya yang tidak lama lagi bakal melahirkan anak sulung.
“Baru je semalam kami berjumpa. Makan sama-sama Bersembang macam-macam. Gelak sama-sama. Macam-macam juga dia pesan.. Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.
“Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi.. Sama usia dengan arwah Baba sewaktu dia meninggal dunia.
“Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang,” katanya.
Kongsi bakal ibu itu lagi, pemergian abangnya juga jatuh pada hari jadi ibu mereka yang patut disambut hari ini.
“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi.. Lama dia plan nak sambut birthday Ummi.. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya.. Allahuakbar.
“Abangku Uzair,Semoga syurga menantimu. Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair bin Arshad.. Doakan juga kesejahteraan & kekuatan buat isteri & anaknya,” katanya. – Malaysiapost

