KETIKA di ibu negara berlangsung konsert rock artis wanita dari barat, di Terengganu pula majlis ilmu diadakan pada masa sama.
Perkara itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurutnya, ramai peminat yang membeli tiket konsert tersebut walaupun harganya mahal, berbeza pula di Terengganu pelbagai majlis ilmu disajikan kerajaan negeri melalui agensi dan NGO di bawahnya.
Beliau turut berkongsi empat program ilmu yang berskala besar berlangsung di Terengganu malam tadi iaitu Majlis Haul Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh Kali Ke-8 Tahun 2022; Karnival Penghayatan Islam TDM Berhad: ‘Talk Show Anak Muda’; Forum Perdana Hal Ehwal Islam serta Karnival Jom ke Masjid DUN Buluh Gading.
“Semua penuh! Alhamdulillah, berkat bumi Terengganu. Semoga suasana ini terus kekal sesuai dengan slogannya Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” katanya.
Terdahulu malam tadi berlangsung konsert artis wanita antarabangsa, Billie Eilish yang dihadiri ribuan peminat di Stadium Nasional di Bukit Jalil. – Malaysiapost
.
kredit foto: FB YB Hj Khuz

