Zambry tarik diri bertanding Naib Presiden Umno

0
2

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan Umno 2023 pada Mac ini.

Beliau berkata, sebagai Menteri Luar, banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa yang perlu beliau memberi keutamaan.

Katanya, keputusan menarik diri dibuat setelah berbincang dengan kepimpinan parti.

“Setelah berbincang dengan kepimpinan parti, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi calon Naib Presiden Umno bagi pemilihan kali ini.

“Dengan mengambilkira tugas rasmi saya sebagai Menteri Luar Negeri di dalam kerajaan baharu ini, banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. 

“Ia juga sekaligus membawa imej Umno yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, malam tadi.

Menurutnya, pada masa yang sama, sebagai Setiausaha Agung BN, beliau mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti-parti gabungan dan juga antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun begitu, Zambry memberitahu akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bagi sesi 2023-2026.

”Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat- sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini.

”Semoga anda semua akan terus dapat memberi sokongan kepada saya dan sama-sama kita mengembalikan kegemilangan Umno untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Selamat berjaya kepada sahabat-sahabat yang bertanding pada pemilihan parti kali ini. Mantapkan ukhwah dan pelihara kesatuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here