POLIS kini memburu penghantar makanan yang menendang perut seorang pengawal keselamatan selepas tidak dibenarkan masuk ke kawasan kediaman di Taman Bukit Meringin, Sungai Ramal Luar, Kajang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada majikan pengawal keselamatan terbabit pada jam 10.52 malam hari kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang membabitkan pengawal keselamatan warga Nepal yang telah ditendang dipercayai oleh seorang penghantar makanan di pos pengawal kawasan perumahan berkenaan.
“Punca kejadian ialah disebabkan sikap tidak puas hati suspek terhadap pengawal keselamatan kerana apabila suspek bertanya rumah nombor 3 di Taman Bukit Meringin dan mangsa mengatakan rumah tersebut kosong tiada penghuni serta tidak membenarkan suspek masuk.
“Suspek kemudian berang dan tidak puas hati dengan sikap mangsa lalu turun daripada motosikalnya dan menendang perut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kejadian itu disaksikan saksi di situ yang kebetulan mahu masuk ke kawasan perumahan dan kejadian dirakam dengan menggunakan rakaman papan pemuka (dashcam) kereta saksi berkenaan.
Beliau berkata, sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat (IPD) Polis Kajang sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan yang kini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad A’fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi seminit yang memaparkan seorang pengawal keselamatan ditendang pada perut oleh seorang penghantar makanan. – Malaysiapost

