KERAJAAN bersetuju meneruskan penyediaan subsidi bagi telur dan ayam sehingga Jun 2023 dengan melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan
Makanan (KPKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, 17 Februari lalu.
Katanya, langkah itu diambil demi memastikan bekalan telur dan ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamad dalam masa terdekat.
“KPKM juga ingin memaklumkan inisiatif membawa masuk telur dari sumber luar adalah langkah sementara bagi memastikan bekalan telur dalam negara kekal stabil dan tidak terputus.
“Keperluan untuk membawa masuk telur dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur kembali stabil,” kata kementerian itu.
Tambah KPKM, pihaknya akan terus komited untuk bekerjasama dengan semua pemegang taruh bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan dan dalam masa
sama memastikan kehidupan rakyat tidak terbeban. – Malaysiapost

