KPM akan keluarkan pekeliling mansuh aktiviti sekolah tidak beri impak

0
2
Fadhlina Sidek

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas berkaitan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak kepada murid.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, surat pekeliling itu akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula bagi memberi penjelasan kepada pihak sekolah dan guru dengan terperinci berhubung pemansuhan itu.

“Pemansuhan boleh terus dilaksanakan. Surat itu nanti adalah perinciannya dan sebelum bermula sekolah kita akan keluarkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang menyatakan sekolah-sekolah tidak boleh diberi arahan mengenai pemansuhan itu hanya melalui kenyataan media.

Menurut Wan Saiful, sepatutnya arahan mestilah diperincikan dan disertakan dengan garis panduan atau pekeliling yang rasmi, bukan diumumkan melalui sidang media atau kenyataan di media sosial sebelum ada perincian.

Fadhlina berkata, KPM akan sentiasa menilai situasi dan memperkenalkan langkah-langkah bagi mengurangkan beban tugas guru, dalam memastikan kesejahteraan guru terjamin sekaligus mengoptimumkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sebelum ini, KPM mengumumkan pemansuhan tersebut yang merupakan antara tujuh langkah segera diambil dalam teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru.

Ia membabitkan antaranya pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here