KENYATAAN Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mengaitkan kakitangan awam yang didominasi orang Melayu menunjukkan sikap rasis parti itu masih menebal.
Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Md Jidin, berkata kenyataan berkenaan tidak mengejutkan kerana itu menunjukkan suara hati DAP yang amat alegi kepada sesuatu yang didominasi kaum Melayu.
“Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu. Namun, saya tidak terkejut kerana itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.
“Apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentulah usaha untuk memecahkan dominasi ini menjadi tumpuan utama mereka.
“Walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum, sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ramasamy yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, berkata cadangannya yang meminta untuk melakukan pembaharuan adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.
Bagaimanapun Ramasamy mendakwa kenyataannya diputar belit beberapa media.
Menurut Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibendung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta.
“Adakah perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Melayu? Saya fikir kalau benar begitu, Ramasamy pun tak boleh jadi Profesor di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) kerana UKM ‘didominasi’ oleh orang Melayu,” katanya.
Radzi mendakwa reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas-asas kenegaraan dan perlembagaan yang sekian lama menjadi pasak mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai negara majmuk.
Dalam pada itu, menurutnya, Anwar sudah tentunya tidak akan ‘menegur’ kerana DAP mempunyai kerusi terbesar dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).
Katanya, untuk Anwar kekal sebagai Perdana Menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan.
“Cuba bayangkan sekiranya perkara yang menyentuh kaum lain disentuh pemimpin Perikatan Nasional, tentulah berduyun-duyun pemimpin gabungan PH-BN akan menuduh PN sebagai rasis.
“Tapi bila ‘Abang Besar’ DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata ‘Abang Besar’ ini rasis!.
“Cuma saya nak cakap, kita boleh baca ‘grand design’ kerajaan PH yang di dalamnya ada DAP ini,” katanya. – Malaysiapost

