MENGINSAFI gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memberi beberapa syor untuk Kerajaan Malaysia membantu menangani musibah itu.
Pertama, beliau mengsyorkan agar ditubuhkan sekretariat khas bagi penyelarasan dan memudahkan wakil badan Kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengkoordinasi bantuan yang diperlukan atau tempat-tempat yang perlu dituju.
Menurutnya, dengan adanya sekretariat khas ini, sudah pasti ia dapat membantu sedikit sebanyak koordinasi secara lebih tersusun dan terfokus kepada semua mangsa yang terbabit dan tidak bertindih fokus.
“Kedua, merujuk NGO-NGO yang berpengalaman dalam penyaluran bantuan bencana khususnya di Turkiye dan Syria, di samping berhubungan secara terus dengan pihak Kerajaan Turkiye dan Syria. Setiap lokasi pasti ada isu yang tersendiri.
“Ketiga, bantuan haruslah seimbang dengan keperluan di satu-satu tempat. Sebagai contoh, keadaan di Syria sudah pasti berbeza dengan Turkiye walaupun kedua-duanya mengalami gempa bumi.
“Masyarakat Syria turut berhadapan dengan krisis ekonomi dan politik. Maka perhatian yang serius diperlukan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli berkata, syor keempat adalah, Malaysia perlu ada bidang tujahan tertentu bagi mengelakkan pertindihan fokus dengan negara-negara lain, di samping menjalankan tugas dengan lebih efisien.
Beliau berkata, sebarang masalah komunikasi antara negara-negara luar yang membantu hanya akan melengahkan masa untuk bantuan sampai tepat kepada sasaran.
“Saya yakin dan percaya dengan munajat kita kepada tuhan dan berdoa kepada-Nya semoga Allah SWT memberi kepada kita semua ketabahan dan kesabaran yang tinggi serta menetapkan kaki-kaki kita.
“Saya yakin kerjasama yang erat dapat dilaksanakan dek kerana hubungan kerajaan Malaysia yang begitu akrab dan intim dengan kerajaan Turkiye dan juga Syria,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyeru masyarakat agar menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Tukiye dan Syria melalui kerajaan dan NGO yang diyakini.
“Alhamdulillah, syukur atas keterlibatan Kerajaan Malaysia, NGO, badan berkanun, dan orang perseorangan yang telah menghulurkan bantuan serta sanggup terbang ke Turkiye dan Syria dengan menyertai misi bantuan ke sana.
“Saya menyarankan supaya rakyat Malaysia memberi bantuan melalui pelbagai NGO yang terlibat. Antara yang boleh diyakini adalah Tabung Kecemasan Bencana Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim),” katanya. – Malaysiapost

