PERMOHONAN maaf Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping semalam, menunjukkan PAS sudah hilang kompas moral dalam perjuangannya.
Pemimpin Amanah, Faiz Fadzil berkata permohonan maaf itu adalah sebaik kemenangan kes buat Perdana Menteri yang mengetepikan fitnah berhubung dakwaan beliau membawa agenda LGBT.
Katanya, permohonan maaf itu mempunyai signifikan besar dalam politik negara kerana dakwaan tersebut telah dijadikan bahan kempen oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 lalu yang menyaksikan berlakunya gelombang ‘hijau’.
“Ramai penganalisis politik berpendapat gelombang hijau ini bertitik tolak daripada kempen-kempen fitnah sebegini termasuk dakwaan PH menyokong agenda komunis dan Anwar ada hubungan dengan Israel.
“Dakwaan sebegini ternyata palsu apabila Anwar membawa agenda Madani dalam kerangka pentadbirannya,” katanya.
Faiz berkata, dengan permohonan maaf itu, ia bukan isu peribadi, tetapi isu kepartian kerana fitnah LGBT dijadikan bahan kempen PAS dan PN dalam PRU lalu.
Oleh itu, katanya, jelas PAS dan PN menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu atas kempen fitnah dan pembohongan.
“Dari segi moral, adakah kemenangan PAS dan PN di 74 kerusi dalam PRU lalu sah?
“Permohonan maaf ini perlu diambil iktibar oleh orang Melayu bahawa kempen PAS dan PN dibuat dengan menunggang isu kaum dan agama yang mana ia fitnah semata-mata.
“Jelas, fitnah dibawa PAS ini menyimpang jauh daripada Islam. PAS kini bukan sahaja hilang kompas moral, tetapi juga nilai Islam,” katanya.
Semalam, Razman memohon maaf kepada Anwar kerana mendakwa Perdana Menteri membenarkan amalan LGBT dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lalu.
Permohonan maaf dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah dikemukakan oleh Anwar terhadapnya. – Malaysiapost

