“Bergembiralah Zahid dan Anwar” – Wan Saiful

0
2

DATUK Wan Saiful Wan Jan, mendakwa ‘pemulangan’ wang yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), hanya akan mengukuhkan ‘cengkaman’ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk itu mendakwa, dengan dana hampir RM200 juta berkenaan, kedudukan Presiden Umno itu akan lebih kuat, sekaligus mengukuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri juga akan lebih selesa.

“Laporan berita mengatakan kerajaan telah “memulangkan wang yang telah disita dalam kes itu.” Ini bermaksud hampir RM200 juta wang yang sebelum ini dituduh datang dari 1MDB masuk kembali ke kantung Umno.

“Dalam era Anwar-Zahid ini, kantung Umno dipenuhkan dengan dana yang sebelum ini dituduh datang dari 1MDB,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang milik sembilan entiti termasuk Umno dan Wanita MCA yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Razali memaklumkan, pendakwaan telah mengemukakan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada 2 Februari lalu dan kerajaan turut memulangkan wang yang telah disita dalam kes itu.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata keadaan itu pastinya menggembirakan Ahmad Zahid dan Anwar.

“Kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri akan lebih selesa dengan kukuhnya Zahid dalam Umno.

“Bergembiralah Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim. Tapi bergembirakah rakyat Malaysia?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here