7 disahkan maut nahas van persiaran turun Genting Highlands

0
2

POLIS mengesahkan seramai tujuh individu termasuk enam warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands, tengah hari tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yooduf, berkata dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, pemandu van bersama lima penumpang meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala seorang lagi penumpang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, hasil siasatan mendapati van berkenaan dipandu lelaki tempatan bersama 13 penumpang membabitkan seorang lelaki dan 12 wanita dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Pulau Pinang.

“Apabila sampai di jalan selekoh, van persiaran itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu van, Wong Choon Chiet, 49, maut di lokasi bersama lima penumpang iaitu Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62; dan Seow Mee Tin, 72,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, enam lagi penumpang yang cedera dihantar ke HKL, namun seorang daripadanya iaitu Chang Them Kong, 70, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan dan kemudian dipindahkan ke Hospital Temerloh.

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan yang kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ramli turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here