KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf berhubung kejadian tular seorang pesakit memarahi kakitangan di sebuah hospital kerajaan selepas mendakwa terpaksa menunggu terlalu lama untuk bertemu doktor.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan berlaku sedikit salah faham di antara pesakit tersebut dengan kakitangan hospital yang seterusnya membawa kepada kekecohan seperti dipaparkan dalam video tular itu.
“Saya maklum tentang kejadian yang ditularkan itu dan difahamkan terdapat salah faham yang telah berlaku di mana ketika kejadian Penolong Pegawai Perubatan ketika itu sedang menggunakan telefon untuk menguruskan temu janji pesakit.
“Kehadiran kes yang ramai juga telah menyebabkan waktu menunggu yang panjang, dan dalam kes ia melibatkan kes ulangan janji temu,” katanya.
Dr Zaliha berkata, pemeriksaan untuk pesakit jantung yang harus dilakukan dengan lebih teliti juga akan mengambil masa rawatan yang lebih panjang bagi setiap seorang pesakit.
“KKM bagaimanapun memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan pihak hospital akan meneliti perkara ini selain melaksanakan penambahbaikan.
“Saya juga berharap agar orang ramai juga ada rasa empati terhadap petugas kesihatan yang juga bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, tular video insiden kekecohan di sebuah hospital kerajaan di Selangor akibat pergaduhan mulut yang berlaku di antara pesakit dan kakitangan hospital.
Menerusi video TikTok terbabit, kejadian itu dikatakan berpunca daripada masa menunggu giliran yang terlalu lama untuk berjumpa doktor sehingga mengakibatkan pesakit tidak berpuas hati.
Difahamkan, seorang pesakit di bahagian jantung hospital tersebut menjadi berang apabila terpaksa menunggu dari jam 8 pagi sehingga 7 malam untuk berjumpa doktor. – Malaysiapost

