Henti jadi polis moral, jalankan tugas jaga keamanan – Young Syefura

0
1

AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhenti menjadi polis moral, sebaliknya menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Ia susulan kes seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke sebuah balai polis kerana tidak berpakaian sopan.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau juga meneliti kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan juga kenyataan lain berkaitan dengan isu itu.

“Saya menyeru PDRM agar menjalankan tugas tanpa prejudis, tanpa sifat seksis terhadap wanita dan tanpa menilai seseorang melalui pemakaian mereka.

“Rata-rata yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan adalah rakyat yang memerlukan bantuan.

“Pakaian dan penampilan mereka sepatutnya tidak menjadi isu. PDRM perlu melatih anggota dan pegawai mereka untuk bersedia menerima kehadiran rakyat waima pakaian dan penampilan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Young Syefura, rakyat tidak hadir ke balai polis jika tiada sesuatu yang mendesak.

Susulan itu katanya, prinsip “Kesopanan dan Kesusilaan” yang disebut oleh Ketua Polis Negara sepatutnya dipraktikkan juga oleh anggota dan pegawai polis yang menerima laporan dengan profesional, sentiasa tenang dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

“Ini termasuklah menerima laporan daripada rakyat yang terdesak tidak kira apa jua penampilan mereka pada ketika itu. Double standard dan sikap seksis tidak perlu ada pada anggota dan pegawai polis.

“Saya berharap agar perkara sebegini tidak berlaku lagi. Semua rakyat perlu diberi akses untuk masuk ke balai polis bagi membuat laporan tanpa perlu dihakimi penampilan mereka.

“Tugas PDRM adalah menjaga keamanan dan keselamatan, bukan menjadi polis moral kepada rakyat,” katanya lagi.

Semalam Acryl Sani berkata orang awam perlu akur dengan kod etika berpakaian ketika mahu membuat aduan atau urusan lain di balai polis kecuali membabitkan kes kecemasan serius antara ‘hidup dan mati’.

Ketua Polis Negara menegaskan, etika itu selaras dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.

Menurut beliau, etika berpakaian untuk orang awam berurusan di balai polis ketika ini berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Acryl Sani mengulas kejadian seorang wanita yang berang selepas dihalang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut pada Isnin lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here