SEORANG tetamu yang hadir perjumpaan bersama dengan Hannah Yeoh baru-baru ini, ‘mengecam’ Menteri Belia dan Sukan itu kerana tiba awal ke majlis tersebut.
Seorang lelaki dikenali sebagai Kumar menerusi video di TikTok berkata, sebagai seorang menteri, Hannah sepatutnya tiba lewat 30 atau 40 minit daripada jadual.
Sindirnya, ini kerana tiba lewat ke sesuatu majlis yang dihadiri rakyat biasa adalah amalan menteri-menteri terdahulu.
“Ini apa yang berlaku di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pada Selasa lepas, saya nak kongsi dengan you all semua. Saya dijemput ke majlis townhall bersama menteri.
“Dalam aturcara pukul 9 ketibaan menteri, lagi lima minit nak pukul 9, menteri dah sampai… eh come on lah, macam-macam menteri saya dah pernah jumpa.
“Kalau pukul 9 (majlis bermula), pukul 9.30 atau 9.40 baru kena datang. Lepak dulu dekat mana-mana. Biar orang di dewan itu tunggu mana ketibaan menteri.
“Selepas itu barulah datang… bila dah sampai beritahu minta maaf tadi ada perjumpaan dengan kedutaan Amerika ke, New Zealand ke, hentam cakap saja, jangan datang pukul 9,” katanya dalam video tersebut.
Namun begitu hakikatnya, Kumar bukan mahu memarahi menteri tetapi menggunakan ‘reverse psychology’ untuk memuji Hannah sambil menyindir sikap menteri-menteri sebelum ini.
Dalam video sama, Kumar turut memuji Hannah yang tidak membuang masa memuji para kenamaan dalam memulakan ucapannya, sebaliknya ‘straight to the point’ terhadap isu yang ingin dibincangkan.
“Dalam permulaan ucapan, mesti kena ucap Yang Berhormat, yang disayangi… kan kena puji orang-orang VIP, Datuk Seri semua yang duduk di baris depan. Kena ‘up’ kan mereka.
“Kalau ucapan 10 minit, tujuh minit kena ‘up’ mereka, tiga minit lagi baru cerita masalah. Ini tak, (Hannah) terus ucap terima kasih dan beri ruang pada kami bercakap,” sindirnya.
Beliau turut memuji Hannah yang meminta penganjur menyediakan kerusi kepada semua tetamu yang terpaksa berdiri di belakang dewan, malah memberikan kerusinya juga demi memastikan semua yang hadir mempunyai tempat duduk.
Sementara itu Hannah dalam reaksi berkata, beliau pada mulanya menyangka Kumar mahu memarahinya.
“Saya ingatkan beliau kecam saya, rupa-rupanya…,” tulis Ahli Parlimen Segambut itu di Facebooknya.
Hannah turut berkongsi video berkenaan di laman sosial miliknya dan mendapat reaksi positif daripada netizen. – Malaysiapost

