Kelar suami kekasih, tanam mayat belakang banglo

0
2

TEMBELANG seorang lelaki yang dipercayai membunuh dan menanam mayat suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya pada Mei tahun lalu, terbongkar.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kelmarin.

Ia berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa.

Menurutnya, pengakuan dibuat di kawasan Ampang Jaya sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek.

“Suspek kemudian menunjukkan lokasi kejadian mangsa berusia 25 tahun dibunuh pada Mei tahun lalu iaitu di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya.

“Kejadian bunuh itu berlaku di banglo berkenaan yang dijadikan pusat jagaan orang tua dengan mangsa dipercayai dikelar di leher menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil pemeriksaan pihak forensik menemui bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

“Susulan itu, kami menahan isteri mangsa dan kekasihnya yang juga warga India serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek warga India tidak mempunyai pasport dan kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

“Suruhanjaya Tinggi India ada membuat laporan polis mangsa hilang pada Mei 2022 selepas menerima aduan daripada ahli keluarganya di India yang memaklumkan lelaki itu tidak dapat dihubungi.

“Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian ini (pisau) masih belum ditemui dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here