NIAT untuk berkongsi rezeki antara faktor utama seorang peniaga makanan di Cenderawasih, dekat Kuantan, memilih untuk menyediakan ‘Menu Rahmah’ di gerainya.
Pemilik kedai Aboh Burn Corner, Noor Salina Samsudin, 56, berkata inisiatif itu mendapat reaksi positif pelanggan selepas hidangan mampu milik itu mula diperkenalkan oleh kerajaan Selasa lalu.

Katanya, walaupun keuntungan diperoleh sedikit namun ia dianggap memadai di samping dapat membantu golongan kurang berkemampuan.
“Sebenarnya idea untuk perkenal menu ini tercetus apabila melihat ada pelanggan terpaksa berkongsi makanan yang mereka pesan dengan ahli keluarga mereka.
“Macam mereka ‘order’ satu menu dan kongsi dengan anak, lepas itu minum pun air kosong saja.
“Jadi apabila melihat keadaan itu, saya fikir lebih baik saya perkenalkan menu macam ini, maknanya kalau mereka nak makan, tak perlu dah berkongsi dan air percuma pun kita sediakan,” katanya ketika ditemui di gerai diusahakannya hari ini.
Noor Salina berkata, dia sudah lebih 10 tahun berniaga kedai makan dan faham dengan situasi ekonomi kebanyakan keluarga yang masih belum stabil selepas berdepan cabaran Covid-19.
Katanya, usahanya itu walaupun tidak memberikan keuntungan besar tapi dapat memuaskan hatinya.
“Kalau kita berniaga masakan panas dalam keadaan (ekonomi) sekarang, bahan mentah semua mahal, untungnya tidak seberapa juga.
“Tapi bila dah buat menu macam ini, adalah untung juga sikit tapi tetap untung dan orang (pelanggan) pun boleh selalu datang makan di kedai saya,” katanya lagi.
Dia memaklumkan menu disediakan di gerainya ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada pelanggannya.
Kali, buat masa ini dia menyediakan dua jenis menu utama iaitu nasi putih dan ayam paprik serta nasi putih dan ayam kari.
“Memang pelanggan pun bertambah, bukan sahaja dari sekitar Cenderawasih, dari kawasan lain pun ada datang sejak saya buat menu Rahmah ini.
“Sekarang saya sedang berbincang dengan pembekal untuk mendapatkan harga berpatutan dan jika semuanya berjalan lancar, selepas ini saya akan tambah menu berasaskan makanan laut,” katanya.
Noor Salina menyediakan antara 150 hingga 200 set menu Rahmah di gerai miliknya setiap hari.
Sementara itu, pelanggan, Kamaluddin Ahad, 65 berpendapat lebih ramai peniaga boleh memperkenalkan ‘Menu Rahmah’ di premis mereka.
“Inisiatif ini sangat bagus dan memberi manfaat kepada ramai orang, bukan sahaja peniaga tetapi juga pelanggan terutamanya dari kumpulan B40.

“Dengan harga ditawarkan RM5, mereka (pelanggan) dapat menikmati hidangan lengkap bersama air minuman dan saya fikir ia sangat berbaloi,” katanya. – Malaysiapost

