Kerajaan tidak cekap, gagal atasi isu telur, kenaikan harga sayur – Gerakan

0
2

KERAJAAN Perpaduan ditempelak kerana gagal menyelesaikan isu bekalan telur ayam dan mengawal kenaikan harga sayur yang melampau sekali gus membebankan rakyat.

Timbalan Pengerusi Gerakan, Oh Tong Keong berkata, bagaimana rakyat mahu mengharapkan kerajaan sekarang menerajui pembangunan ekonomi negara sedangkan masalah bekalan makanan pun gagal diselesaikan.

“Kerajaan Perpaduan bukan sahaja tidak dapat mengawal bekalan telur domestik, malah kini harga sayur-sayuran tidak terkawal dan telah meningkat sebanyak 160 peratus pada bulan lalu.

“Bekalan telur domestik tidak mencukupi, tetapi kerajaan mengimport telur dari India, adakah lebih suka melihat penternak telur tempatan mengalami muflis?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tong Keong turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengimport telur dari India yang lebih mahal berbanding menaikkan subsidi kepada penternak telur tempatan.

“Kerajaan lebih suka mengimport telur dari India yang tidak setanding gred C pada harga purata 50 sen sebiji, daripada memberikan subsidi yang lebih tinggi untuk penternak telur tempatan.

“Adakah penternak telur India lebih penting daripada penternak telur tempatan?,” katanya.

Beliau turut menyalahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang seolah-olah ‘tidur’ kerana tidak menyedari kenaikan harga sayur-sayuran.

“KPDN harus menyiasat punca kenaikan harga sayur-sayuran supaya rakyat berpendapatan rendah tidak terjejas, dan pada masa sama mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan 2010 Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan.

“Kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah telur dan sayur bagi mengelakkan rakyat semakin sengsara akibat ketidakcekapan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here