Bekas Adun Sanglang cedera dipukul lelaki tidak siuman di masjid

0
2

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Perlis, cedera pada bahagian kepala selepas diserang seorang lelaki dipercayai bermasalah mental di Masjid Alwi, Pusat Bandar Kangar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa, Datuk Md Zain Hamzah, 86, cedera di bahagian kepada selepas dipukul lelaki terbabit di dalam kawasan masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin MohdYusop berkata, mangsa pada mulanya berada di dalam kenderaan untuk mendengar tazkirah sehingga jam 5.30 pagi.

“Setelah selesai, mangsa sedang menuju ke arah hadapan masjid untuk mengisi duit ke dalam tabung anak yatim sebelum didatangi oleh seorang lelaki,” katanya kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek dalam keadaan yang sedang mengamuk kemudian menyerang serta memukul mangsa menyebabkan warga emas itu terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian sebelah kanan kepala.

Katanya, pada masa sama mangsa bertindak melarikan diri ke satu tempat untuk mengelak dipukul oleh suspek.

Menurut Yusharifuddin, mangsa kemudiannya meminta bantuan kepada pengawal keselamatan masjid itu untuk menghubungi pihak kecemasan dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa mengalami luka tidak serius pada bahagian atas kepala disyaki dipukul menggunakan kerusi kecil dan masih menerima rawatan di hospital.

“Polis kemudiannya bertindak menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang ditahan di masjid berkenaan dan motif serangan sedang disiasat. Suspek juga dipercayai mengalami masalah mental,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Untuk rekod, Md Zain pernah menjadi ADUN Sanglang selama dua penggal sejak 1978 hingga 1986 di bawah tiket Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here