Lantikan Nurul Izzah beri isyarat yang salah

0
2

PELANTIKAN Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipersoalkan Transparency International Malaysia (TI-M).

Presidennya Dr Muhammad Mohan, berkata perkara itu tidak baik buat Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kerana beliau sebelum ini bercakap menentang kronisme dan nepotisme.

“Pandangan kami ialah ia memberikan isyarat yang salah dan saya khuatir jika ia tidak dibetulkan, faktor itu akan termasuk dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di sini.

“Ia disebabkan semua ini adalah tentang persepsi. Persepsi hari ini, nepotisme telah kembali dan ia adalah tidak baik,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan keputusan CPI Malaysia tahun 2022 di ibu negara, hari ini.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini mendedahkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Sementara itu, Muhammad dalam masa sama turut berharap Anwar akan melihat semula pelantikan Nurul Izzah dan melakukan sesuatu mengenainya.

“Mungkin tidak perlu dilaporkan padanya kerana ini akan menunjukkan konflik kepentingan,” ujarnya.

Beliau juga berpandangan bahawa Perdana Menteri ke-10 itu terdesak dan perlukan bantuan daripada orang ramai dengan apa yang berlaku di peringkat bawahan serta menolongnya.

“Saya harap Perdana Menteri akan campur tangan dan lakukan pelarasan agar kita tidak kehilangan bakat Nurul Izzah,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here