JUMLAH mangsa banjir di Johor kembali meningkat kepada 2,757 orang daripada 774 keluarga dan ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sedikit berbanding 2,593 orang daripada 731 keluarga di 31 PPS, pada jam 4 pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daerah terjejas akibat banjir masih lagi melibatkan Mersing; Kluang; Kota Tinggi; Batu Pahat, Segamat dan Tangkak.
“Terbaharu, satu PPS baharu dibuka pada jam 11.30 malam tadi di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia melibatkan 30 mangsa banjir daripada 12 keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi berkata, Batu Pahat menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 946 orang daripada 266 keluarga ditempatkan di lapan PPS.
Katanya, mangsa banjir di Mersing pula kini berjumlah 829 orang daripada 243 keluarga di enam PPS; di Kota Tinggi 453 orang daripada 117 keluarga di sembilan PPS.
“Di Kluang pula mangsa banjir yang tinggal hanya 422 orang daripada 117 keluarga di tiga PPS manakala di Segamat masih lagi menempatkan 92 orang daripada 28 keluarga di empat PPS,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, di Tangkak masih sama iaitu seramai 15 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke sebuah PPS. – Malaysiapost

