‘Saya rasa seperti dibuli’ – Hasni Mohamad

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=443547937336941&set=pcb.443548514003550

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, terasa dirinya seperti dibuli.

Ini kerana, bekas menteri besar itu menjelaskan beliau sudah melakukan yang terbaik dengan memperoleh kemenangan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu.

“Saya rasa seperti dibuli setelah melakukan yang terbaik dengan memenangi PRN Johor dengan majoriti yang besar.

“Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor pada 2018 dan mengetuai PRN Johor tahun lalu sehingga memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya rasa, hanya kerana saya menyokong idea supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan, mereka merasakan bahawa saya menentang kehendak parti,” katanya menurut Berita Harian.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya yang diambil alih Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata jika keputusan menggantikan beliau dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi itu boleh menguatkan kedudukan Khaled di peringkat pusat, tiada masalah untuk beliau menyokong keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akan timbul masalah, jika tujuan utama keputusan itu adalah sebaliknya.

“Jika kedudukan itu hanya semata-mata pendekatan untuk mempertahankan orang-orang tertentu, saya percaya beliau akan menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Jumaat lalu, membuat keputusan menggugurkan Hasni daripada jawatan berkenaan.

Umno turut memecat bekas Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Menurut Hasni, beliau hadir pada mesyuarat malam berkenaan namun tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan.

Bagaimanapun, Hasni berharap pemimpin Umno yang dipecat atau digantung masih berpeluang membuat rayuan, sambil menjelaskan dirinya masih Ahli MKT Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here