Hanya 3 bukan 16 pertuduhan – Noh Omar

0
1

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tan Sri Noh Omar menjelaskan beliau hanya disabitkan tiga dan bukannya 16 pertuduhan seperti yang didakwa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan tidak tepat dibuat Megat Zulkarnain selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada malam kelmarin.

Menurutnya, tindakan parti itu tidak mengikut peraturan kerana tiba-tiba saja pertuduhan sudah pun dijatuhkan terhadapnya tanpa memberi ruang untuk membela diri, walaupun sudah menerima surat untuk berbuat demikian pada esok.

“Saya amat kecewa mendengar kenyataan dibuat oleh Pengerusi (Perhubungan) Umno Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengatakan saya menerima 16 pertuduhan.

“Saya nak bagi tahu, saya hanya mendapat surat ini mengenai butir-butir aduan, tuduhan pertama, kedua, ketiga. Hanya tiga pertuduhan sahaja.

“Jadi ini yang dikatakan belum lagi (saya) dipanggil, pertuduhan sudah dibuat keputusan. Sebab itulah apabila saya digantung tanpa diberi peluang membela diri walaupun tarikh sudah ditetapkan.

“Saya sepatutnya menghadiri bicara dengan Lembaga Disiplin Umno pada Isnin ini. Ada tiga hari lagi, bagaimana Datuk Megat boleh kata 16 pertuduhan kepada saya sudah pun terbukti?,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook.

Sebelum ini, Megat Zulkarnain mendedahkan penggantungan keahlian Noh dalam Umno disebabkan 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Megat Zulkarnain, keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Antara tindakan sabotaj itu membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU15.

Mengulas satu daripada tiga pertuduhan dikenakan, Noh berkata ia mengaitkan beliau dengan bekas pegawai khasnya yang menjadi calon bebas pada PRU lalu.

Beliau yang mempertikaikan tuduhan sedemikian dengan mendakwa Ahmad Zahid juga boleh dijatuhi hukuman kerana Datuk Muslimin Yahaya pernah menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertanding menjadi calon Bersatu pada PRU14.

“Apabila saya digantung tanpa diberi peluang membela diri, saya lihat Umno hari ini tidak mengikut peraturan dan sedang menuju kehancuran.

“Daripada digantung baik dipecat daripada bersekongkol dengan mereka yang menggunakan Umno untuk kepentingan diri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here