KJ kini hanya Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan

0
2

KURANG 24 jam dipecat daripada Umno, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengemaskini maklumat ‘bio’ di Twitternya sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan.

Malah, bekas Ketua Pemuda Umno itu juga turut mengemaskini maklumat peribadi di Instagramnya sebagai ahli politik serta ‘Fomer something something’.

Tindakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memberi semangat kepada Khairy untuk terus kekal positif serta menganggap pemecatan berkenaan sebagai ujian seorang ahli politik.

Malah, ada yang menyifatkan Khairy akan menyemarakkan sukan berbasikal negara kerana mempunyai ‘aura’ luar biasa dalam kalangan generasi muda serta bidang kesukanan.

Sementara itu, ada juga warga netizen yang berseloroh mendakwa walaupun impian Khairy untuk menjadi Presiden Umno tidak kesampaian, sekurang-kurangnya beliau kini ‘Presiden’ sebuah persatuan sukan.

“Habis bersepah lah basikal atas jalan raya lepas ni.”

“Janji dapat jadi Presiden… Hidup KJ.”

“KJ nie memang elok jadi Menteri sukan.

“Tak apa KJ, jalan masih panjang… ‘Keep it up, dont give up’,” antara komen netizen.

Pada 19 September 2020, Khairy yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilantik secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) bagi tempoh 2020-2022.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi memutuskan Khairy dipecat daripada parti dengan serta-merta.

Selain Khairy, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat daripada parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here