PEKERJA di 14 ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli sekitar Kahang, Johor yang terputus hubungan darat akibat banjir di negeri berkenaan akan diberi bantuan dengan kadar segera.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata bagaimanapun setakat ini mereka yang terjejas itu masih mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh kira-kira dua hari.
Menurutnya, kawasan berkenaan tidak ditenggelami banjir namun terputus hubungan akibat laluan darat dinaiki air dan tidak boleh dilalui sebarang kenderaan.
Beliau berkata, pekerja dan penduduk berkenaan masih boleh dihubungi melalui telefon dan pihak berkuasa kini sedang giat berusaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.
“Ada satu berita tular satu ladang terputus hubungan (Ladang Selai) dan kita sahkan.
“Ada 14 ladang di Kluang membabitkan kira-kira 300 pekerja yang terputus hubungan darat akibat banjir namun masih boleh berhubung melalui telefon,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Kahang, hari ini.
Menurutnya, penghantaran bantuan menggunakan bot memakan masa kira-kira dua jam dan ketua polis daerah serta Pejabat Daerah akan berusaha membawa bekalan ke sana.
“Cuma sekarang keadaan hujan dan cuaca gelap, kita akan cari jalan terbaik untuk meminta bantuan helikopter sama ada pihak polis, ATM atau bomba sendiri untuk membawa bekalan ke sana esok pagi,” katanya.
Sementara itu Kamarul Zaman berkata, hampir 8,000 pegawai dan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi sudah digerakkan untuk menangani banjir di Johor dan secara keseluruhan terdapat 12,400 anggota bersedia untuk diatur gerak.
“Unit penyelamat itu merangkumi polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya.
“Sebanyak 200 kenderaan digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya untuk tugas menyelamat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah selain tidak cuba untuk meredah banjir kerana arus deras dan membahayakan. – Malaysiapost

