PAS jumpa tiga pemimpin negeri PH bincang PRN serentak

0
2
Kredit: Harakah Daily

PAS bakal mengadakan pertemuan dengan pemimpin di tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya ia diadakan serentak dengan negeri di bawah pentadbiran parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perjumpaan itu dijangka berlangsung minggu depan bersama menteri besar dan ketua menteri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perbincangan secara tidak rasmi mengenai tarikh PRN sudah pun diadakan akhir tahun lalu, namun tiada sebarang keputusan dicapai.

“Setakat ini kita belum memuktamadkan tarikh PRN sehinggalah perbincangan secara rasmi diadakan bersama tiga menteri besar dan ketua menteri itu minggu depan,” katanya selepas Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT–TI Young Talent Scholarship, hari ini.

Ahmad Samsuri berharap PRN dapat diadakan serentak bagi memudahkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya tersebut.

“Kemungkinan untuk tidak berlaku serentak atau tak itu tetap ada. Tidak ada mana-mana pihak boleh paksa negeri-negeri lain untuk jalankan PRN sekali tetapi tiga negeri PAS telah sepakat akan buat pada tarikh sama,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan PAS akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau dilapor berkata, bagaimanapun terpulang kepada PH untuk menentukan tarikh pembubaran DUN di tiga negeri ditadbir mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here