MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh mula perbicaraan petisyen bantahan keputusan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Timbalan Pendaftar, Nik Habri Muhamad, turut menetapkan 8 dan 9 Februari sebagai tarikh untuk pendengaran bantahan awal, lapor Berita Harian.
Nik Habri membuat keputusan berkenaan selepas mendengar pengurusan kes oleh kedua-dua pihak yang dijalankan secara dalam talian, hari ini.
Petisyen berkenaan difailkan Mohd Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah, pada 3 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Dalam petisyen itu, Mohd Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah; Datuk Mohd Hafarizam Harun; Datuk Abu Bakar Isa Ramat; Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff; Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman, menamakan tiga responden termasuk Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim.
Dua lagi responden adalah Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pendengaran pengurusan kes hari ini, Mohd Azmi selaku pempetisyen diwakili peguam Mohamed Baharudeen.
Mohd Azizi selaku responden pertama diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu, manakala responden kedua dan ketiga diwakili peguam Mohammad Sallehuddin Md Ali.
Petisyen berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.
Mohamed Baharudeen berkata, seramai 10 hingga 12 saksi akan dipanggil sepanjang proses perbicaraan yang diadakan bermula 12 Mac sehingga Jun nanti.
Pada PRU-15, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.
Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh pula mendapat 21,663 undi. – Malaysiapost

