JOHOR mula dilanda banjir dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah setakat jam 1 tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua PPS di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat itu kini menempatkan 120 keluarga.
Beliau berkata, PPS yang mula dibuka sejak jam 11 pagi itu membabitkan 422 penduduk dari lapan kawasan yang terjejas.
“Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 347 orang daripada 105 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, iaitu Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (104 orang), Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68), Dewan Kg Sungai Gatom, Labis (59), Dewan Serbaguna Kota Segamat Kecil (99) dan Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17).
“Dua PPS dibuka di Kluang masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (8 orang) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (18).

“Manakala di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 41 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan tahap bahaya dan buruk terhadap Johor sehingga esok.
Kawasan yang terlibat ialah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Hujan tahap buruk pula membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian. – Malaysiapost

