TIGA lagi ladang babi di Pulau Pinang disahkan dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF), menjadikan keseluruhan ladang terkesan wabak itu kepada 21 setakat ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ladang tersebut terletak di Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 4,204 ekor babi telah dimusnahkan.
“Sehingga Ahad lalu, sebanyak 21 ladang disahkan dijangkiti virus tersebut.
“Virus ini senang merebak seperti yang diumumkan sebelum ini, sebab itu, semakin banyak ladang yang dijangkiti,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang giat membuat persiapan untuk meneruskan proses pelupusan babi yang disahkan positif ASF.
“Mengenai pampasan, ia akan diuruskan oleh JPV. Pemilik ladang perlu tampil bersama JPV untuk mengira jumlah babi dalam ladang. Selepas JPV mengesahkan jumlah babi yang dijangkiti, proses pelupusan akan dijalankan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 18 ladang babi dengan jumlah 48,194 ekor terjejas akibat ASF di negeri itu. – Malaysiapost

