
KERAJAAN digesa menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya tidak mampu untuk memfailkan kesemua kes di bawah akta tersebut di mahkamah.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, berkata akta tersebut dilihat bersifat kejam kerana tahanan tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang selain tahanan tidak boleh diikat jamin.
Katanya, SOSMA juga boleh disalah guna bagi tujuan politik walaupun akta berkenaan menyarankan bahawa tiada individu boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen itu semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.
“Jika kerajaan tidak mahu tuduh tahanan SOSMA ini di mahkamah, lepaskan mereka. Saya tidak kata semua yang ditahan di bawah SOSMA tidak bersalah, tetapi kenapa ditahan di bawah SOSMA? Kenapa tidak dituduh di bawah Kanun Keseksaan sahaja?
“Selain itu, saya lihat SOSMA ini sebagai akta yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, saya gesa agar Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memansuhkan SOSMA di negara ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Ramasamy turut menggesa Anwar supaya melepaskan kira-kira 100 tahanan di bawah SOSMA di seluruh negara dan menuduh mereka di bawah kanun keseksaan segera.
“Akta ini tidak sepatutnya diwujudkan di Malaysia kerana ia tidak adil untuk tahanan, antaranya keluarga atau peguam tahanan tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan tahanan sehingga 48 jam selepas ditahan.
“Selain itu, di bawah akta ini juga, pihak berkuasa boleh menahan sesiapa sahaja tanpa waran yang mana, ia dibuat hanya dengan mempercayai atau mengesyaki bahawa individu tersebut terlibat dalam kesalahan keselamatan,” katanya. – Malaysiapost
