KOLABORASI antara FELCRA bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijangka mampu menerokai lebih banyak peluang baharu.
Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya yakin kerjasama erat itu akan memudahkan menerokai peluang yang berpotensi sekali gus memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulilah petang tadi saya dapat bersama-sama warga FELCRA bagi satu sesi Taklimat oleh FELCRA Berhad sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Saya melihat setiap usaha FELCRA sebelum ini dan percaya dengan kerjasama erat bersama KKDW, lebih banyak potensi akan dapat diterokai khususnya di dalam sistem pembangunan desa dan wilayah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, FELCRA juga perlu mengambil bahagian dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.
“Dalam pada masa yang sama, saya menekankan dalam usaha FELCRA melaksanakan dan memperkukuhkan tanggungjawab sosial dan korporat, FELCRA melalui Transformasi 3.0 juga perlu memperkasakan agenda keselamatan makanan negara seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.
“Gerak kerja transformasi ini perlulah merangkumi usaha-usaha untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pelbagai inisiatif di bawah selian FELCRA,” katanya. -Malaysiapost
.

