Ismail Sabri masih berteka-teki pertahan Naib Presiden Umno

0
2

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob masih berteka-teki sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu, tahun ini. 

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, apa yang pasti beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Bera terlebih dahulu.

“Yang pasti saya akan pertahankan (jawatan) Ketua Umno Bahagian Bera, (untuk jawatan Naib Presiden) masih awal lagi.

“Tak tahu lagi, saya kena bincang dengan orang Bera dulu. MKT (Majlis Kerja Tertinggi) belum putuskan bila pemilihan di peringkat cawangan bahagian dan sebagainya, tunggulah,” katanya dipetik Malaysiakini dalam sidang media di Bera, hari ini.

Mengulas mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang meluluskan usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan, Ismail Sabri berkata, apa saja hasil keputusan dibuat dalam PAU boleh berubah jika ada pihak mencabarnya.

“Itu adalah seperti dipersetujui ketika PAU, (jawatan) Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan namun keputusan muktamad masih boleh ditentukan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya

Berdasarkan usul diluluskan pada PAU 2022, Sabtu lalu, hanya jawatan Naib Presiden dan ke bawah saja dipertandingkan.

Manakala, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan selepas usul tambahan dikemukakan wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mendapat sokongan majoriti perwakilan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here