PAU 2022 mematikan isu terhadap Presiden – Mohd Puad

0
1
Foto Kredit: Minda Rakyat

PELBAGAI prasangka dan tomahan kini mula timbul selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 tamat dengan memainkan naratif bahawa demokrasi Umno sudah mati, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Umno, mendakwa naratif itu dimainkan oleh kumpulan terdesak dalam parti itu terutama membabitkan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang diluluskan perwakilan.

Menurutnya, kumpulan terbabit mendakwa ia tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Umno dan lebih dahsyat lagi ada yang menuduh wujud pengundi ‘hantu’ ketika usul tambahan itu diluluskan perwakilan.

“Peliknya kali ini mereka amat berminat untuk bertanding (jawatan Presiden, Timbalan Presiden). Masa Umno kalah 2018 mereka lari. Ini kerana ketika itu Umno hilang kuasa. Perdana Menteri ialah Tun M (Dr Mahathir Mohamad).

“Mereka takut didakwa dan dipenjara. Mereka tahu Tun M akan balas dendam. Mereka sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semua menjauhkan diri dari Umno, Najib (bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Takut terpalit.

“Sekarang mereka timbul balik. Mereka teringin untuk bertanding. Kenapa? Kerana Umno parti dalam kerajaan. Mana mungkin Umno akan mendakwa mereka. Hipokrit betul,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad mendakwa, kumpulan terbabit teringin menang jawatan dalam parti kerana secara automatik akan menjadi Menteri dan ada yang buat pengakuan jika menang pemilihan Umno akan kekal sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, slogan ‘No Anwar No DAP’ yang dibangkitkan sebelum ini hanyalah alasan untuk menjatuhkan Ahmad Zahid apabila pemimpin parti itu memilih menyertai Kerajaan Peraduan.

“Isu ini sudah basi. PAU kali ini mematikan isu tersebut. Tidak berbangkit sama sekali.

“Tetapi puak ‘desperado’ ini memang konsisten. Iaitu konsisten melawan keputusan parti. Pastinya mereka terus membising walaupun perwakilan sudah buat keputusan,” katanya.

Beliau mendakwa, kumpulan terbabit menganggap keputusan dibuat perwakilan adalah tidak demokratik, sedangkan dalam mesyuarat MKT pada 5 Januari lalu, terdapat cadangan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

“Cadangan itu ditolak. Presiden Umno juga tidak bersetuju. Umno pernah dua kali tiada pertandingan jawatan Presiden. Kedua duanya diluluskan oleh MKT bukan oleh perwakilan,” katanya.

Menurutnya, kumpulan yang menjadi ‘duri dalam daging’ itu sudah menyusahkan parti selama lima tahun dengan tidak mengikut keputusan parti, namun keputusan PAU 2022 mengabsahkan gelagat mereka telah ditolak.

“Ia mendedahkan secara terbuka siapa konco mereka. Kali ini mereka tersisih. Mereka tambah sukar untuk menguasai parti dan guna parti untuk agenda peribadi.

“Keputusan PAU 2022 dan kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan akan beri nafas kepada Umno membina balik kekuatan dan melaksanakan hala tuju baru yang dikemuka oleh Ahmad Zahid,” katanya.

Mohd Puad mendakwa, terdapat juga orang luar Umno mendakwa Umno tidak demokratik, tetapi sebenarnya mereka tidak suka kepada Ahmad Zahid kerana politiknya liat untuk dibunuh dan isu ‘kluster mahkamah’ gagal menjatuhkannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here