KIRA-KIRA 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
“Mengikut data yang diberikan, saya dapati pekerja asing diperlukan oleh sektor kritikal buat masa ini adalah kira-kira 500,000 orang.
“Bagaimanapun, kita akan lihat sekiranya ada keperluan untuk menambah pekerja asing, kita akan tambah tetapi ia tidak boleh melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut Sivakumar, pada masa ini kumpulan pekerja asing sudah memasuki Malaysia secara berperingkat dan dijangka lebih ramai akan dibawa masuk menerusi program berkenaan.
Terdahulu, beliau memaklumkan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.
Beliau berkata, majikan dalam kelima-lima sektor atau subsektor kritikal boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing di platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Saifuddin dipetik berkata, beliau akan mengetuai siri lawatan bersama KSM dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini. – Malaysiapost

