Tuduhan Rafizi umpama pengundi terlampau naif – Muhammad Sanusi

0
1

DAKWAAN Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa Pas menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah disebabkan sentimen perkauman dan politik wang, disifatkan menuduh pengundi terlalu naif.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tuduhan itu juga dilihat secara terang menghina pengundi khususnya di Kedah.

Menurutnya, Rafizi seolah-olah menganggap pengundi tidak bijak, tidak tahu membuat penilaian, sentiasa membuat pilihan yang salah dan sangat teruja dengan wang rasuah pilihan raya.

“Pas memang ‘parti tin Milo’, bukan seperti mereka yang ditaja oleh tauke-tauke besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter, calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, raja politik wang yang mana Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini sedang ‘bersekedudukan’ dengan mereka, masakan tidak tahu sedangkan beliau kini merupakan Menteri Ekonomi.

“Bagi Rafizi, dia dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal.

“Ironinya, kebencian pengundi kepada formula sampah yang tidak pernah berjaya, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam bahasa baku telah mendorong pengundi memberikan mereka pengajaran pada PRU15,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, ‘tsunami hijau’ orang Melayu pada PRU-15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka ‘mulut besar’ beliau.

Ia kerana, katanya, rakyat sudah mengetahui prestasi sebenar Rafizi di sebalik ucapan kempen PRU-15 yang kini memakan diri sendiri.

“Kalau dia rasa dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh. Sekarang ini tahun 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada ‘cakap kosong’ berstatistik dan retorik.

“Sekarang zaman orang menilai kerja dan prestasi, prestasi PH sudah dilihat selama 22 bulan selepas PRU-14, prestasi Barisan Nasional (BN) pula seluruh rakyat sudah sedia maklum.

“Jika telur dan ayam pun mereka gagal uruskan, apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tetapi tak turun-turun.

“Rafizi akan jadi punca utama PH dan BN dihukum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan PRU-16 nanti,” ujarnya lagi.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata PH membuktikan bahawa ekonomi rakyat menjadi lebih baik dan kuasa orang Melayu tidak terhakis bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, faktor utama kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 disebabkan sentimen perkauman yang disebarkan secara meluas selain perbelanjaan tinggi sepanjang tempoh berkempen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here