Tidak wajar sekat tanding Presiden Umno, Timbalan – Hasni

0
1
Johor Mentri Besar Datuk Hasni Mohammad during press conference at Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar on Wednesday (March 11)

UMNO Johor berpandangan tidak wajar menghalang mana-mana ahli parti yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022), semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata perkara itu dilihat mempunyai asas memandangkan cara usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022 dirasakan melanggar kehendak perlembagaan parti.

Justeru, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berpandangan, isu pertandingan jawatan tertinggi parti ini perlu diambil berat dan diteliti sewajarnya.

“Saya berpendapat bahawa cara usul tersebut dibawa melanggar kehendak perlembangaan. Sepatutnya usul itu perlu mendapat persetujuan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Ada juga pendapat menyatakan ia tidak mematuhi garis panduan ditetapkan RoS. Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pihak pentadbiran Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian di Pejabat Daerah, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Pontian berkata, imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

“Umno Johor berpandangan masyarakat di luar dan pimpinan parti di peringkat cawangan memandang mengenai imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti,” katanya.

PAU 2022 semalam meluluskan dengan suara majoriti usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan.

Ini bermakna Ahmad Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here