PUTRA kekal bersama GTA

0
1

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) tetap kekal bersama jemaah pimpinan Gagasan Tanah Air (GTA) dan tidak akan keluar meninggalkan gabungan itu demi mencari perlindungan atau kepentingan.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali, menegaskan tidak akan meninggalkan GTA yang pada awalnya digerakkan oleh PUTRA dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kerana rakyat sedang memerhati langkah serta tindak tanduk perjuangan gabungan itu.

“InsyaAllah PUTRA tetap cekal menempuh badai dan tidak akan tergolong sebagai manusia lain cakap lain buat dan tidak lebih secebis dilihat sebagai sekadar Harimau Kertas.

“PUTRA ada maruah dan ada perasaan malu kepada sesama jemaah, apatah lagi dengan rakyat umum, terutama umat Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejuang semalam, mengambil keputusan untuk berundur daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua semalam, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, Pejuang mengambil pendirian untuk kekal terbuka bagi mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan politik sedia ada bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung, tahun ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata selepas GTA tewas teruk pada PRU15 semua pihak bimbang apatah lagi Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, katanya pihak yang ternyata ‘bersih’ tidak perlu takut dengan kerajaan sekarang.

Ibrahim berkata, PUTRA akan kekal bersma GTA sehingga pimpinan gabungan itu membuat keputusan sebulat suara menentukan hala tuju seterusnya.

“PUTRA tidak gopoh kerana PRU16 masih lama lagi walaupun PRN di enam negeri tidak lama lagi. PUTRA akan terus fokus pada PRU16 (lima tahun masanya) dan PRN enam negeri beberapa bulan lagi akan terus dijadikan medan latihan.

“Bertanding atau tidak, masa akan menentukan nya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here