NASIB malang menimpa Umno kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lewat ketika ‘tiada telur’
Perkara itu dinyatakan perwakilan Kelantan, Zawawi Othman ketika membahas usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di ibu negara.
Menurut Zawawi, PRU15 sepatutnya diadakan lebih awal sekitar April atau secara bersama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kita silap kerana sepatutnya kita adakan pilihan raya awal lagi, kita adakan pilihan raya ketika harga ayam dah naik… harga barang dah naik.
“Kita buat PRU semasa ‘tidak ada telur’ sebab itu kita tewas… telur naik orang tak suka yang orang suka ‘barang naik’,” katanya secara berseloroh.
Ketua Umno Pasir Puteh menambah, jika PRU15 diadakan lebih awal, Umno tidak akan menerima nasib seperti hari ini.
Katanya lagi, Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin menjadi parti dominan dalam kerajaan jika PRU15 diadakan lebih awal.
Sementara itu, Zawawi menyifatkan PAS dan Bersatu sebagai ‘perogol’ apabila mengkritik Umno apabila bekerjasama dengan DAP.
Ini kerana katanya, kedua-dua parti tersebut terlebih dahulu menjalin kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
“Hari ini kita tak kata DAP baik, sejahat-jahat DAP, PAS cium mulut lama dah. Bila kita dok sekali (bersama DAP) cakap (DAP) jahat.
“Dia (PAS, Bersatu) tak pernah kahwin (DAP), dia adalah ‘perogol’, nasib baiklah kita bawah umur, Umno sudah tua,” katanya. – Malaysiapost

