UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti itu tidak lagi menjadi pilihan utama orang Melayu, kata Ketua Pemuda Umno Raub, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau berkata, penolakan orang Melayu jelas berlaku sama ada dalam kalangan yang tinggal di bandar atau luar bandar.
Menurutnya ia berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Katanya, antara faktor semakin ramai orang Melayu menolak Umno disebabkan kegagalan parti itu bersaing dengan parti Melayu lain, selain gagal mendekati dan meyakinkan orang Melayu di bandar.
“Suka atau tidak, kita bukan parti Melayu dengan kemenangan kerusi terbanyak. Yang di luar bandar sudah mula menolak kita dan yang di bandar, sudah lama meninggalkan kita.
“Umno mesti segera sedar. Ramai orang Melayu di luar sana sudah membayangkan masa depan mereka, tanpa Umno.
“Ramai orang Melayu semakin percaya, mereka tidak perlukan Umno untuk mewakili mereka. Perkara ini jika tidak diberi perhatian serius dan jujur, akan beri kesan sangat buruk kepada Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Fadzli berkata, Umno perlu melakukan bedah siasat secara jujur dan ikhlas dengan mengetengahkan kelemahan, kesilapan dan kesalahan parti itu, dan bukan bedah siasat yang dibuat secara berlapik.
Sementara itu, beliau berkata Umno hanya mampu kembali bangkit jika parti itu kembali pada kekuatannya, iaitu memiliki neraca pertimbangan dan kompas moral yang betul.
“Jika kita benar-benar sayangkan parti, kita mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur,” katanya.
Ujar beliau, Umno perlu merombak cara kerja lama dan mencari strategi baharu, termasuk memiliki ikon yang bersih, diyakini dan mempunyai idea serta pelan untuk bangsa dan negara.
Dalam masa sama, Fadzli berkata strategi komunikasi yang digunakan Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika ini disifatkan gagal serta tidak berkesan untuk menyerang lawan atau bertahan.
“Kita mesti sedar. Menghasilkan infografik dan dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp semua ketua bahagian, itu bukan komunikasi berkesan.
“Membuat hantaran Facebook setiap hari dan meminta semua ahli dan kenalan untuk ‘like’ dan kongsi, itu bukan komunikasi berkesan. Mengadakan wawancara dengan menemubual sesama kita sahaja, itu bukan komunikasi berkesan.
“Marilah kita semua mengambil langkah berani dan radikal untuk mulakan agenda perubahan. Dengan cara baharu, dengan cara yang belum pernah kita teroka,” katanya. – Malaysiapost

