Khairy dakwa ada komplot gagalkan Umno pertandingkan dua jawatan tertinggi

0
1

TERDAPAT komplot membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Timbalan Ketua Umno Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa, wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan tersebut.

Dakwa Khairy, ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan ketika ini untuk memudahkan perwakilan import masuk mengundi usul berkenaan.

“Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan ‘dibulldoze’ (dilanggar).

“Malah, beberapa ‘tag’ (tanda) di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal.

“Ini upaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak (sokongan) dan ‘bulldoze’ usul supaya ia (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan,” katanya dalam video di TikTok, hari ini.

Semalam, Dewan Merdeka dilapor gamat selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden dan mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Mengulas lanjut, Khairy mempersoalkan usul tambahan itu yang disifatkan pelik kerana disampaikan wakil daripada Rembau, memandangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua Umno Rembau.

“Kalau nak bawa usul penambahan pun, lindunglah sikit. What happen to you (Apa dah jadi pada kamu) Mat Hasan (Mohamad)?” soalnya.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Rembau itu merayu kepada semua perwakilan Umno dalam Dewan Merdeka supaya tidak meluluskan usul tambahan berkenaan, sebaliknya memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti.

Khairy juga memberi jaminan pertandingan dua jawatan itu tidak akan menyebabkan parti itu berpecah-belah, sebaliknya akan menyokong mana-mana individu yang mendapat mandat menerajui Umno.

“Saya janji bahawa pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti. Siapa yang menang, kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen Umno. Ini prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.

“Jadi sangat penting perwakilan dalam Umno jangan melakukan ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan Umno dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here