BN Sabah tarik sokongan terhadap Hajiji tindakan bermaruah – perwakilan Sabah

0
1
foto kredit: SABAHKINI2

LANGKAH Barisan Nasional (BN) Sabah yang menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat sebagai tindakan bermaruah.

Perwakilan Umno Sabah, Ghazalie Ansing berkata, tindakan tersebut sekali gus mengelakkan BN daripada terus ditipu pemimpin talam dua muka.

Menurutnya, ia kerana Perikatan Nasional (PN) di negeri itu masih bertopengkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun mereka sudah meninggalkan Bersatu.

“Apa berlaku krisis kelam-kabut, penyelamat buminya datang, boboiboy datang, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin datang, cuba menyelamatkan keadaan.

“Jangan lupa, kami pun ada boboiboy kami, YAB Presiden, saya jamin saya yakin dan percaya YAB Presiden akan membantu kami walaupun ada yang kata, sikit-sikit mengadu dengan bapa, kalau kita sakit, kita susah, tidak mengadu sama keluarga, sama siapa lagi?

“Kita serahkan perkara ini ke atas kebijaksanaan YAB Presiden dan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah sebulat suara menarik sokongan terhadap Hajiji dan kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama ADUN dan pimpinan Umno Sabah pada malam 6 Januari lalu.

Kemelut politik Sabah tercetus apabila ada cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji melalui Langkah Kinabalu atau Langkah Sutera pada 4 Januari lalu.

Ia susulan tindakan Bung Moktar mengumumkan pihaknya menamatkan kerjasama membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Sementara itu, Ghazlie yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau, berkata jika BN terus bersama Kerajaan Negeri Sabah, sudah pasti nasib wakil rakyat parti itu terus dipinggirkan.

“Penubuhan kerajaan di sini kalau kita bersama-sama dengan PN, kemanakah kita? Sudah pastinya kita dihumban ke laut dan gaung kerana kita telah merasainya bersama-sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata apa yang dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu merupakan langkah yang tepat daripada terus dikhianati pemimpin PN.

“Apa yang dibuat oleh Datuk Seri Bung itulah dia, alhamdulillah nasib kami dipimpin pemimpin yang tahan lasak, tahan digasak, tahan menggasak, ribut sekali pun tetap maju, mundurnya tiada, radu tetap radu menjadi pegangan,” katanya. – Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here