SEMUA pemimpin dan ahli Umno bertanggungjawab atas jatuh bangunnya Umno termasuk kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika mahu dicari punca, kitalah puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah. Jika mahu dibangunkan semula, kitalah yang mesti menerajuinya,” katanya dalam ucapan Dasar Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Dalam ucapan pembukaannya, Ahmad Zahid berkata, seawal memasuki Dewan Merdeka, beliau melihat wajah-wajah perwakilan sekali gus terdetik di hati, Umno masih punya masa depan yang cerah.
“Mana tidaknya, daripada raut wajah saudara saudari sekalian, saya dapat merasakan, parti ini masih didukung oleh para pemimpin akar umbi, yang terpancar ketulusan dan keikhlasan di wajah-wajahnya.
“Walau dibadai tsunami ganas politik, saudara saudari tetap istiqamah dan setia di bawah lembayung Umno. Terima kasih, terima kasih seikhlasnya daripada saya buat saudara saudari sekalian.
“Saya zahirkan perasaan ini kerana yakin, setiap daripada kita yang hadir, pada Perhimpunan Agung kali ini, datang dengan pengakuan sama. Bahawa, semua daripada kita bertanggungjawab atas jatuh bangunnya Umno,” katanya. – Malaysiapost

