Kenapa Umno pilih PH? – Zahid

0
2

Presiden Umno,

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan keputusan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, meskipun keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) membuat ketetapan ‘No Anwar, No DAP’.

Presiden Umno itu berkata, fasal 9.1 Perlembagaan Umno memberi kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menjalankan kerja pentadbiran parti di bawah Perhimpunan Agung.

“Apabila keputusan ini dicapai, muncul pula suara-suara dalaman kita dengan hujah, bukankah kita telah buat keputusan dalam PAU, ‘no Anwar, no DAP’. 

“Namun, kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut PAU juga membuat keputusan dan ketetapan ‘no Bersatu’. Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan PAU yang telah menyatakan ‘no Anwar, no DAP’.

“Namun, sebagai sebuah parti berperlembagaan, kita buat keputusan sesuai dengan Perlembagaan Umno,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, fasal 9.1 Perlembagaan Umno menyebut ‘MKT adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal Umno di bawah kekuasaan dan perintah perhimpunan agung dan MKT adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak perhimpunan agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada perhimpunan agung’.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata pendirian Umno membentuk kerajaan dengan PH adalah selaras perakuan diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu untuk menerima titah usulan Baginda, supaya diwujudkan kerajaan perpaduan.

“Pada masa sama katanya, PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan sebaliknya Perikatan Nasional (PN) menolak titah berkenaan.

“Maka, sesuai dengan perlembagaan parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat MKT membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu lagi, pemilihan PH juga berdasarkan jumlah kerusi yang diberikan rakyat kepada parti itu dan mandat lebih besar rakyat beri kepada PH

“Setelah dibahaskan, MKT membuat ketetapan untuk memilih bersama PH bagi menubuhkan kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here