Penubuhan Majlis Ulama bantu perkasa amalan Islam dalam Umno

0
1

MAJLIS Ulama Umno boleh berperanan untuk menasihati parti di semua peringkat agar segala aktiviti sentiasa selaras dengan Islam, kata bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau yang kini mesra Umno berkata cadangan penubuhan Majlis Ulama yang dicadangkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu turut membantu usaha memperkasakan amalan Islam dalam kalangan ahli parti.

“Majlis juga boleh sentiasa memberi pandangan dan nasihat kepada kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha memperkukuh Islam dalam negara.

“Ia selaras dengan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini mahu penubuhan Majlis Ulama Umno disegerakan.

Ahmad Zahid berkata penubuhan majlis itu juga sebagai pembaharuan bagi menghadapi senario politik baharu.

“Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya di luar sana bersedia untuk bersama dengan kita.

“Kita mesti terjemahkan usul pembaharuan yang telah kita bincangkan beberapa ketika yang lalu, Majlis Ulama Umno mesti diterjemahkan dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here