Keahlian gugur jika sertai pakatan politik tanpa Umno

0
1

UMNO meluluskan usul pindaan perlembagaan parti termasuk ketetapan ahlinya yang menyertai pakatan lain tanpa Umno, akan tergugur keahlian secara automatik.

Pindaan itu selari dengan undang-undang bertukar parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang mula berkuatkuasa sejak Oktober lalu.

Usul di bawah Fasal 20.11 perlembagaan Umno itu diluluskan sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU), hari ini.

Usul pindaan lain yang diluluskan berkaitan Fasal 8.4 perlembagaan Umno, iaitu penyertaan secara automatik Ketua Penerangan Umno Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap Umno sebagai perwakilan tetap PAU.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin ketika membentangkan usul pindaan itu menjelaskan, ia dilaksanakan selepas diputuskan parti serta bagi membolehkan perlembagaan Umno bersifat terkini.

“Pindaan ini dilakukan kerana kita mahu laksanakan apa yang sudah diputuskan parti dan kita mahu memastikan peruntukan dalam perlembagaan parti bersifat terkini dan selari dengan peruntukan undang-undang semasa negara,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pindaan kepada Fasal 20.11 perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia selari dengan undang-undang bertukar parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang mula berkuatkuasa sejak Oktober lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here