DI sebalik pergolakan politik di Sabah, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti tetap bersama kepimpinan Umno di Negeri Di Bawah Bayu itu.
“Apa yang berlaku muktakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa Umno Pusat akan tetap bersama dengan Umno Sabah,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini.
Politik Sabah bergolak selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.
Bagaimanapun, lima Adun Umno Sabah enggan menuruti keputusan Bung, sekali gus memaksa rombakan Jemaah Menteri Sabah dengan Adun Lamag itu digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Umno kekal berpendirian Sabah dan Sarawak merupakan rakan politik strategik dalam pembentukan kerajaan pada masa sekarang mahu pun masa depan.
“Dengan itu, apa pun bentuk kerajaan Malaysia pada masa sekarang dan masa hadapan, Umno tetap memilih untuk bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63, perlu dilaksanakan segera walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan.
Katanya, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, kedudukan Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.
“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” katanya. – Malaysiapost

