Dakwa PAS ingin bunuh Umno, kenyataan Tok Mat tak masuk akal – PAS

0
1
KUALA LUMPUR, 25 Feb -- Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika sidang media di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiÕayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. Terdahulu, Ahli Parlimen daripada PAS dan UMNO hadir dengan menaiki bas untuk ke Istana Negara bagi menghadap Seri Paduka Baginda. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KENYATAAN Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa PAS “ingin membunuh” Umno dan pada masa sama menganggap DAP ikhlas terhadap Umno adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Malah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Mohamad itu dibuat dalam keterpaksaan.

Menurut Takiyuddin, hakikatnya rakaman sejarah politik negara ini menunjukkan Umno terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan PAS termasuk cubaan untuk mengharamkannya suatu ketika dahulu.

“Sebaliknya sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasarnya, PAS sentiasa berazam dan bertindak mendekati Umno dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti rakyat negara ini.

“Usaha Penyatuan Ummah juga seterusnya digagaskan merentasi rakyat pelbagai kaum dan agama bagi mewujudkan suasana aman dan harmoni melalui saluran demokrasi dan berlandaskan lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Takiyuddin berkata, sebagai sebuah parti arus perdana, PAS akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan dengan mana-mana pihak.

Katanya, ia bertujuan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat.

“PAS amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti-parti politik yang terbentuk atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh semua.

“Dalam pada itu, PAS juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan matang dan sejahtera dalam politik negara kita selain mendoakan agar sikap melulu, provokatif dan tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab dan tujuannya tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here